Saturday, May 24, 2008

Saida = kakak siti nurhaliza, menyampah pulak tgk.


'Penyakit' malu penghalang besar buat Saida
Oleh Ramli MS

ASSALAMUALAIKUM. Selepas sebulan bercakap mengenai Akademi Fantasia 6 (AF6), minggu ini masuk siri kelima saya menulis mengenainya. Saya akan menyentuh mengenai AF6 hingga program ini berakhir. Minggu ini saya memperkatakan mengenai Saida (Siti Norsaida Tarudin), kakak kepada Datin Seri Siti Nurhaliza. Dari minggu pertama saya perhatikan dia, selepas diuji bakat, saya agak sabar menunggu kemunculan bakat beliau yang pernah saya dengar sewaktu saya bekerja dengan adiknya sebagai Pengarah Muzik. Ketika itu saya pernah mendengar Saida juga jadi penyanyi, tetapi disebabkan dia sudah berumah tangga, beliau berhenti menyanyi. Justeru, demi had umur yang mengizinkan Saidi layak menyertai uji bakat AF6, kami sebulat suara menerima beliau menyertai AF musim ini demi mengembangkan lagi bakatnya. Selepas berada dalam akademi selama dua minggu, Saida tidak berubah, beliau ada satu ‘penyakit’ yang amat ditentang oleh kamus seorang penyanyi.
Agak pelik dengan sikap Saida yang begitu pemalu. Badi pentas mungkin boleh diasuh dengan kerapnya kemunculan dia di pentas, tapi sikap pemalu Saida yang sering melihat lantai ketika menyanyi memang sukar dikikis daripada dirinya, disertai tahap pembelajaran beliau yang begitu perlahan.
Bagi saya, mungkin apa dipelajarinya di akademi, tidak selaju pelajar lain. Melihat keadaan Saida dari minggu pertama hingga keempat, dia adalah pelajar yang ada ramai peminat. Kalau dilihat carta undiannya, Saida berada pada kedudukan selesa. Kami di akademi memang tidak pernah membandingkan Saida dengan adiknya. Saida adalah Saida. Kita sedaya upaya mendidiknya dalam AF. Tapi, disebabkan pengundi hari ini cukup bijak menilai bakat dalam AF6, mereka tidak lagi membuta tuli mengundi, mereka mengundi berdasarkan pencapaian pelajar menerusi konsert. Justeru, mana-mana pelajar yang tidak menampilkan persembahan meyakinkan, tidak ada perubahan dari minggu ke minggu, pelajar itu gerenti terkeluar pada minggu berkenaan. Keadaan itulah yang terjadi ke atas Saida apabila persembahannya menyanyikan lagu Bunga-Bunga Berguguran terlalu hambar. Sekalipun Saida mempunyai peminat ramai, hingga minggu kelima saja kesabaran pengundinya bertahan. Saya tidak menyalahkan penyokong dan pengundi Saida kerana saya sendiri mengakui, persembahannya gagal menarik perhatian peminatnya. Sekiranya anda melihat Carta Pengetua, saya tidak pernah meletakkan Saida pada kedudukan ke bawah tangga enam atau tujuh disebabkan persembahannya tidak meyakinkan saya. Bagi saya, Saida kalau ingin menjadi penyanyi, beliau harus melupakan sikap pemalunya yang begitu ketara. Mana ada penyanyi, menyanyi tengok lantai? Apa yang saya perhatikan, Saida tidak sanggup berdepan kamera dan penonton. Saida perlu membuang sikap pemalu yang lebih besar berbanding bakatnya. Bagi saya, Saida mempunyai audio yang perlu digilap lagi, manakala visual pemalu harus dibuang, seterusnya lengkapkan lagi pembelajaran beliau yang menyanyi ke arah lebih moden. Kalau ingin menjadi artis, memang Saida mempunyai akses atau laluan yang tidak dimiliki orang lain. Dia ada kelebihan itu. Justeru, dia harus bekerja lebih keras dan selamat maju jaya kepadanya. Sekian saja untuk minggu ini, wassalam.

No comments: